Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Mei. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Penyelidikan (IBER) Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Poni Group Sdn. Bhd. menganjurkan Ekspedisi Hutan ke Terumbu Karang Brunei Darussalam bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2025.
Majlis Perasmian Ekspedisi Hutan ke Terumbu Karang Brunei Darussalam disempurnakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat yang berlangsung di Mangrove Paradise Resort, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta Besar, Pemangku Pengarah Perhutanan, Pemangku Pengarah Perikanan, Penolong Naib Canselor UBD, Ketua Pegawai Eksekutif Poni Group Sdn. Bhd., ketua-ketua jabatan serta wakil-wakil dari pelbagai agensi kerajaan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Tingkat I, Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Haji Hanafiah bin Haji Mahmud, diikuti dengan upacara pelepasan rasmi bagi Ekspedisi Hutan ke Terumbu Karang Brunei Darussalam.
Ekspedisi tersebut akan diadakan selama seminggu bermula hari ini hingga 25 Mei 2025, dengan menumpukan kajian terhadap kepelbagaian biodiversiti hutan paya bakau di Pulau Selirong serta ekosistem marin di perairan Pulau Pelong-Pelongan.
Kumpulan penyelidik adalah terdiri daripada pakar-pakar tempatan UBD manakala penyelidik antarabangsa adalah daripada ASEAN Centre for Biodiversity (ACB), Center for Ocean Plastic Studies dari Universiti Kyushu, Jepun, Jejakin dari Indonesia, Sabah Wetlands dan ADS Environmental Services dari Malaysia.
Antara objektif ekspedisi saintifik ini diadakan adalah untuk mengumpul data ekologi yang terkini serta mendokumentasikan biodiversiti secara keseluruhan di Pulau Selirong dan Pulau Pelong-Pelongan.
Maklumat ini amat penting untuk memacu usaha pemuliharaan yang lebih terarah dalam melindungi habitat penting dan yang mudah terdedah kepada ancaman.
Selain itu, data asas yang dikumpul akan memainkan peranan penting dalam menilai tahap kesihatan dan kestabilan ekosistem ini dalam jangka masa panjang di samping membantu mengenal pasti ancaman yang semakin ketara seperti kemerosotan habitat, pencemaran alam dan kesan perubahan iklim.
Tujuan ekspedisi ini adalah untuk menyatukan pakar-pakar dan penyelidik, tempatan serta antarabangsa bagi bertukar-tukar pengetahuan, berkongsi amalan terbaik dan mengeratkan kerjasama dalam pengurusan ekosistem yang saling berkaitan dari hutan hingga terumbu karang.
Penemuan-penemuan saintifik daripada ekspedisi ini akan memberi sumbangan kepada pengukuhan rangka kerja pemuliharaan biodiversiti Brunei Darussalam, menyokong pertumbuhan ekonomi biru (blue economy) dan meneroka industri ekopelancongan sebagai satu laluan ke arah pembangunan mampan.
Penemuan-penemuan ini akan dibentangkan di Persidangan Hutan ke Terumbu Karang Brunei Darussalam, yang dijadualkan akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hutan paya bakau, terumbu karang dan rumpai laut sering ditemui berdekatan antara satu sama lain dan berfungsi sebagai satu ekosistem yang saling bergantung bagi memastikan kestabilan dan kesihatan zon pesisir.
Habitat ini penting untuk perlindungan, pembiakan serta sumber makanan bagi ribuan spesies dalam rantaian makanan marin dan hutan. Namun begitu, kurangnya maklumat yang lengkap dan terkini mengenai kedua-dua kawasan ini, khususnya ekosistem marin Pulau Pelong-Pelongan, menimbulkan kebimbangan.
Ancaman seperti pembukaan hutan dan peningkatan paras air laut boleh mendatangkan risiko tinggi terhadap biodiversiti kawasan tersebut, justeru tindakan segera dalam bentuk penyelidikan dan pemuliharaan amat diperlukan.